Dalam surah Ath-Thalaq Allah berfirman tentang kejadiaan langit yang bermaksud:
"Allah menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah maha Maha Kuasa atas segala sesuatu dan sesungguhnya Allah ilmunNya benar-benar meliputi segala sesuatu.'
(Ath-Thalaq: 12)
Terciptanya langit dengan segala benda yang terbentang di situ yang berupa bintang-bintang yang cemerlang, adalah menunjukkan tanda adanya kekuasaan Allah Taala.
Sekarang tengadahkan sebentar kepalamu ke arah langit, cuba selidiki dan perhatikan apa yang ada di dalamnya, bintang-bintangnya, terbit dan terbenamnya matahari/bulan.
Seterusnya fikirkanlah pula perihal jalannya matahari mengelilingi falaknya dalam masa setahun. Ia terbit setiap hari dari arah timur dan terbenam di arah barat. Bayangkanlah andaikata matahari itu tidak tidak terbit dan tenggelam pasti tidak ada perbezaan waktu, yakni malam dan siang.
Rasakanlah pula bagaimana menjelmanya waktu malam dari waktu siang dan menjelmanya waktu siang dari waktu malam.
Kini periksalah langit yang merupakan atap dari kediaman seluruh makhluk yang ada di bumi itu. Ia berdiri tegak tanpa ada tiang yang mengukuhkannya berdiri, tidak ada pula hubungan ikatan atau sangkutan sesuatu apapun dengan benda-benda di atasnya. Pendek kata perihal keajaiban langit itu, kalupun sudah ada yang mengetahui, belumlah mencapai seperseribu dari keseluruhan keajaiban-keajaiban yang ada.
Namun demikian kita tetap dianjurkan supaya selalu memikirkan dan menyelidik rahsia-rahsianya untuk kita mendapat manfaat, sebab Tuhan sendiri menjelaskan bahawa ada sebahagian rezeki kita yang terletak di sana.